AL-SHAWAH membawa maksud kerinduan yang juga terkait
dengan perasaan cinta. Kerinduan itu pasti banyak jenis ragam caranya. Malah
kerinduan sering menjadi mauduk kepada segala pencinta Tuhan dalam
mengekspresikan kebergantungan mereka kepada Sang Pencipta.
Imam Ibnu Qayyim al-Jauziyyah r.h. mengatakan
al-Shabwah juga termasuk istilah cinta. Dikatakan dalam al-Shahhah:
“Al-Shabwah termasuk jenis kerinduan. Jika
dikatakan, ‘Tashaba wa shaba yashbu shabwah shubuw’ membawa erti cenderung
kepada kebodohan.’Jika dikatakan, ‘Ashbathul-jariyatu wa shabiya shaba’an,’
ertinya bermain dengan anak-anak.”
Menurut pendapat Imam Ibnu Qayyim al-Jauziyyah r.h.,
asal makna perkataan ini adalah cenderung seperti yang dikatakan, “Shaba ila
kadza,” ertinya cenderung kepada sesuatu.
Cinta disabitkan dengan kalimah shabwah kerana
pelakunya yang cenderung kepada wanita seakan bersifat keanak-anakan.
Konotasinya ada perkaitan dengan firman Allah dalam al-Quran yang bermaksud:
“Yusuf (merayu kehadrat Allah Taala dengan) berkata:
Wahai Tuhanku! Aku lebih suka kepada penjara daripada apa yang
perempuan-perempuan itu ajak aku kepadanya. Dan jika Engkau tidak menjauhkan
daripadaku tipu daya mereka, mungkin aku akan cenderung kepada mereka, dan aku
menjadi daripada orang-orang yang tidak mengamalkan ilmunya.” (Surah Yusuf,
ayat 33)
Yusuf muda yang bekerja dengan al-Aziz kemudian
menjadi buruan hawa nafsu dan cinta buta kepada imraah (isteri) al-Aziz. Lantas
ayat di atas menggambarkan pendirian tegas Yusuf muda yang selayak menjadi pedoman
kepada para pemuda-pemudi masa kini.
Latar di sebalik kecenderungan
Sebagaimana yang diketahui daripada al-Quran, Surah
Yusuf yang merupakan surah yang kedua belas daripada 114 surah dan mempunyai
111 ayat adalah satu-satunya surah yang mempunyai kesinambungan kisah yang
bersifat kronologi.
Surah Yusuf sangat kaya dengan unsur estetika sebuah
karya sastera (sebagaimana yang difahami dalam teori sastera konvensional masa
kini) – unsur seperti watak dan perwatakan, latar, plot, dialog, sudut
pandangan dan lain-lain.
Namun menyamakan ia dengan sebuah karya manusia
adalah sesuatu yang tidak wajar, kerana al-Quran adalah mukjizat dan tujuan
kisah-kisah dalam al-Quran adalah sangat berbeza dengan matlamat penciptaan
karya sastera manusiawi khususnya yang berkiblatkan teori Barat kerana
meletakkan hiburan dan nilai estetika sebagai matlamat pengkaryaan.
Sedangkan kisah-kisah dalam al-Quran terlepas
daripada rekaan dan khayalan manusiawi serta bertujuan untuk menyampaikan
hikmah kebijaksaan sebagai pengajaran dan panduan kepada manusia, ini merujuk
kepada firman Allah yang bermaksud:
“Kami ceritakan kepadamu (wahai Muhammad)
seindah-indah kisah dengan jalan Kami wahyukan kepadamu al-Quran ini, padahal
sebenarnya engkau sebelum datang wahyu itu, adalah daripada orang-orang yang
tidak pernah menyedari akan halnya.” (Surah Yusuf, ayat 3)
Sekali lagi sebagai penutup surah ini Allah
menjelaskan sejelasnya mengapakah wahyu itu adalah daripada kisah-kisah
terdahulu dengan firmannya yang bermaksud:
“Demi sesungguhnya, kisah Nabi-nabi itu mengandungi
pelajaran yang mendatangkan iktibar bagi orang-orang yang mempunyai akal
fikiran. (Kisah Nabi-nabi yang terkandung dalam al-Quran) ia bukan cerita yang
diada-adakan, tetapi ia mengesahkan apa yang tersebut dalam kitab-kitab agama
yang terdahulu daripadanya dan ia sebagai keterangan yang menjelaskan tiap-tiap
sesuatu, serta menjadi hidayah petunjuk dan rahmat bagi kaum yang (mahu)
beriman.” (Surah Yusuf, ayat 111)
Membaca kisah benar
Al-Quran yang kaya dengan kisah-kisah masa lampau
yang penuh dengan ibrah itu wajar dilumati oleh setiap insan yang bergelar
Muslim. Setiap daripada kisah agung tersebut perlu dilumati dan diminati
melebihi novel-novel yang sedia diminati dan digilai masa kini.
Tidak hairanlah, mengapa pengarang novel fenomenal
Ayat-Ayat Cinta, Habiburrahman el-Shirazy atau lebih dikenali sebagai Kang Abik
menisbahkan surah dan kisah yang panjang seperti Surah Yusuf seperti novel dan
kisah-kisah yang pendek seperti cerpen.