AL-MAHABBAH yang membawa maksud asal jernih dan
bersih, menjadi kebiasaan kepada bangsa Arab mensabitkan jernih dan bersih ini
dengan sifat gigi yang putih. Ada pendapat pula mengatakan ia berkaitan dengan
perkataan al-Habab, iaitu air hujan yang turun menderu dan meluap dengan
lebatnya.
Oleh yang demikian, boleh disimpulkan bahawa
al-Mahabbah adalah gejolak dan luapan hati seseorang yang mendambakan kasih
sayang dan ingin bersama mereka yang dicintainya. Selain daripada itu, ia juga
bermaksud tenang dan teguh sebagai unta yang sentiasa tenang meskipun diarah
dan dicambuk untuk bersegera.
Ada sebuah novel karangan Sasterawan Negara Prof
Emeritus Dato’ Dr Haji Shahnon Ahmad yang diberi judul Mahabbah dan
pernah dahulu sebuah fikem Bollywood menjadi fenomena dan tajuknya adalah Mohabbatein.
Dimensi Mahabbah Pak Shahnon berlainan dengan dimensi Mohabbatein meskipun
keduanya ada kaitan dengan al-Mahabbah.
Keluasan penguasaan empayar Islam pada masa silam
tidak memustahilkan banyak istilah sudah diindiakan atau dimelayukan bagi
kesesuaian penggunaan setempat.
Kisah Nabi Musa dan al-Mahabbah
Allah berfirman dalam al-Quran yang bermaksud:
“Letakkanlah anakmu di dalam peti, kemudian lepaskanlah peti
itu ke laut, maka biarlah laut itu membawanya terdampar ke pantai, supaya
dipungut oleh musuh-Ku dan musuhnya dan Aku telah tanamkan daripada kemurahan-Ku
perasaan kasih sayang (مَحَبَّةً۬) orang
terhadapmu dan supaya engkau dibela dan dipelihara dengan pengawasan-Ku.” (Surah
Taaha, ayat 39)
Peristiwa ini adalah
rentetan daripada Firaun yang berasa takut akan takbir mimpi oleh ahli nujum
istana bahawa akan lahir seorang lelaki daripada bani Israel yang akan
memusnahkan kerajaannya.
Dek kerana itu,
arahan membunuh semua anak lelaki yang baru dilahirkan dikeluarkan oleh Firaun.
Pada masa yang sama, bonda Nabi Musa a.s. sedang mengandungkan baginda. Beliau
berjaya menyorok kandungannya sehingga saat Nabi Musa a.s. dilahirkan, Allah
memerintah ibu Nabi Musa a.s. melakukan sebagaimana yang tersebut dalam ayat di
atas.
Pastinya sebagai
seorang ibu, yang mengetahui ada ancaman bunuh akan bayinya oleh algojo Firaun
yang melata adalah suatu perkara yang sangat menakutkan. Dalam masa yang sama,
pasti juga dirinya tidak mampu untuk menyorokkan bayi yang baru lahir itu.
Bayi yang masih kecil
itu dihanyutkan dalam sebuah bakul sebagaimana yang diperintahkan, tiada lain
hanya doa kepada Allah yang mampu si ibu lakukan. Sebagaimana ketetapan Allah,
bakul berisi bayi masuk ke dalam kawasan sungai istana dan dijumpai oleh
permaisuri Firaun.
Menyedari bahawa
bayi lelaki sudah diwartakan bunuh oleh Firaun, si permaisuri merayu damba agar
dibenarkan anak itu dipelihara sementelah mereka tidak mempunyai anak dan
kerana kasihnya Firaun akan permaisurinya itu, maka dituruti kehendaknya.
Kuasa al-Mahabbah
asbab sebenar keruntuhan kerajaan Firaun
Sebagaimana tercatat
dalam al-Quran mengenai kisah Nabi Musa a.s. yang boleh dikatakan sebagai kisah
kembara yang panjang dan indah serta padat dengan ibrah, tiada siapapun yang
terduga... bayi yang dimaksudkan akan meruntuhkan kerajaan agung Firaun yang
mengaku tuhan itu adalah anak angkatnya yang dibelanya di istana sendiri.
Boleh dibuat
kesimpulan, bahawa al-Mahabbah menjadi senjata yang akhirnya berjaya meranapkan
keegoan seorang raja agung yang mengaku tuhan itu dalam dua keadaan:
- Sifat mahabbah si permaisuri kepada si anak kecil yang dijumpai
- Sifat mahabbah Firaun terhadap isterinya yang meminta anak itu tidak dibunuh
Allah, Allah, Ya Allah..
ReplyDeleteBanyak pengajaran yang saya dapat dalam entri ini.
Sesungguhnya kasih sayang si isteri itu mampu menundukkan firaun zalim yang angkuh.
Kasih sayang itu telah menyelamatkan bayi 'terpilih' dari dibunuh dan melupuskan perbezaan darjat serta keturunan
kasih sayang itu jugalah merupakan satu lembaran baru bagi sebahagian besar makhluk untuk celik mata dan celik hati dalam menyedari keAgunganNya.