ANDAI ditanya kepada 10 orang lelaki dan 10 orang
wanita akan makna cinta buat diri mereka, pasti jawapannya yang diperolehi
adalah 20 jawapan yang berbeza dan antara jawapan yang popular adalah, “Cinta
itu subjektif.”
Benarkan begitu?
Benarkah cinta itu subjektif dan bukan bersifat
objektif?
Ya, kita akui makna kepada cinta sudah dikaburi dan
dikelabui dengan pelbagai anasir dan mehnah semasa yang terus membawa kemuliaan
dan keindahan cinta daripada makna sebenarnya.
Dalam al-Quran ada menyebut mengenai limitasi
cinta yang membebat minda dan nubari
umat manusia keseluruhannya. Allah nyatakan manusia sengaja diciptakan oleh-Nya
dengan sifat itu. Firman Allah yang bermaksud:
“Dihiaskan (dan dijadikan indah) kepada manusia:
Kecintaan (al-hubb) kepada
benda-benda yang diingini nafsu, iaitu perempuan-perempuan dan anak-pinak;
harta benda yang banyak bertimbun-timbun daripada emas dan perak; kuda
peliharaan yang bertanda lagi terlatih dan binatang-binatang ternak serta
kebun-kebun tanaman. Semuanya itu adalah kesenangan hidup di dunia dan
(ingatlah), di sisi Allah adalah tempat kembali yang sebaik-baiknya (iaitu
Syurga).” (Surah Ali-Imran, ayat 14)
Secara literal dapat kita fahami bahawa Allah
memang sengaja mencipta fitrah kecintaan yang disukai oleh nafsu iaitu:
1. Perempuan
2. Anak-pinak
3. Harta benda yang banyak daripada emas dan perak
4. Kuda peliharaan yang bertanda lagi terlatih dan
binatang-binatang ternak
5. Kebun-kebun tanaman.
Nampaknya kesemua kriteria tersebut boleh dikiaskan
dan dinisbahkan dengan kitaran hidup kebanyakan manusia pada hari ini yang;
Apabila sudah dewasa dan matang (kadang-kadang
tidak cukup dewasa dan matang sekalipun), atau hari ini pengukurnya adalah setelah
tamat pengajian ijazah sarjana muda dan mula bekerja, rasa ingin berteman atau
lebih spesifik mencintai dan dicintai oleh pasangan masing-masing sehingga
berkahwin pasti membuak-buak.
Kemudian keinginan memiliki zuriat untuk mencintai
dan dicintai bagi melengkapkan kehidupan sebagai sebuah keluarga. Pastinya mahu
mengumpul sebanyak yang termampu harta benda sebagai tuntutan perjalanan
kewangan semasa dan masa depan kemudian memiliki kenderaan yang selesa dan
mempunyai rumah atau kawasan sendiri yang mempunyai kawasan dan permandangan
mendamaikan.
Kemudian Allah nyatakan pada akhir ayat tersebut,
“Semuanya itu adalah kesenangan hidup di dunia dan (ingatlah), di sisi Allah
adalah tempat kembali yang sebaik-baiknya (iaitu Syurga).”
Mesej yang jelas dan padu daripada Allah buat
hamba-Nya bahawa ada kecintaan yang lebih besar perlu dikejar kerana kecintaan
tersebut punya nilai yang besar di sisi-Nya malah menjamin hamba-Nya itu ke
syurga abadi.
Rumusannya adalah, Allah memberikan kriteria yakni
hanya kecintaan yang akhirnya membawa manusia kembali kepada-Nya sahaja akan
dijamin syurga abadi di akhirat kelak. Bermaksud, kecintaan yang tidak membawa
kepada Allah akan mendapat natijah sebaliknya. Justeru, setiap kecintaan kepada
perempuan, anak-pinak, harta benda, kenderaan dan kebun tanah sendiri perlu
membawa di pencinta kepada Allah bukan sebaliknya.
Tahukah kita akan cinta itu?
Tahukah kita ada kurang lebih 60 istilah yang boleh
dinisbahkan kepada cinta? Selain daripada perumpamaan seperti singa dan pedang,
bencana yang besar, arak yang memabukkan dan pelbagai perumpaan yang dijadikan
bahasa ekspresif golongan pencinta khususnya mereka yang pandai menukang syair
dan puisi serta sajak.
Demikian dinyatakan oleh ilmuwan Islam besar,
Syeikh Ibnu Qayyim al-Jauziyyah r.h. yang merupakan anak murid kanan Syeikhul
Islam Ibnu Taimiyyah r.h. dalam karya yang berjudul Raudatul Muhibbin wa
Nuzhatul Musytaqin.
Untuk menjadi seorang pencinta sejati dan mahu
meletakkan kecintaan tersebut pada tempat yang sepatutnya, menjadi kawajaran
kepada kita untuk mengetahui dan memahami akan istilah-istilah daripada dasar
kepada kecintaan itu sendiri.
Cinta yang membawa kepada sebaik-baik tempat
kembali yakni di sisi Allah subhanahu wa
taala.
No comments:
Post a Comment