Al-HAWA yang membawa maksud
hasrat, nafsu dan keinginan menurut Imam Ibnu Qayyim al-Jauziyyah r.h., sangat
sinonim dengan perbuatan yang berlawanan dengan perbuatan yang baik. Malah
dalam tradisi bahasa Melayu, perkataan al-hawa ini dipinjamkan dan digandingkan
pula dengan perkataan nafsu maka jadi serangkap kata hawa nafsu.
Tidak dapat dinafikan sifat cinta
buat sekian lama sudah dinodai tatkala nafsu yang tidak dikekang sebaiknya
memandu diri melebih akal dan ilmu yang benar sehingga membawa kepada pelbagai
kemudaratan.
Sama ada hawa atau nafsu kedua
adalah ciptaan azali Allah dalam diri seseorang manusia lelaki mahupun
perempuan. Syaitan yang merupakan sifat yang sangat akrab dengan nafsu dan hawa
sentiasa dijadikan agenda oleh Iblis laknatullah untuk memerangkap seorang anak
Adam ke lembah kehinaan yang mengakibatkan kesesatan kepadanya.
Hujjatul Islam Imam al-Ghazali
r.h. pernah membicarakan secara tuntas darihal nafsu dalam banyak karya beliau
khususnya dalam magnum opusnya, Ihya Ulumuddin. Antara analisis yang beliau
kemukakan adalah nafsu bagi seorang wanita adalah sembilan daripada sepuluh
manakala nafsu lelaki adalah satu daripada sepuluh.
Manakala akal bagi seorang lelaki
adalah sembilan daripada sepuluh dan bagi wanita pula adalah satu daripada
sepuluh. Namun Ustaz Hasrizal Abdul Jamil dalam sebuah makalah beliau
menjelaskan bahawa konotasi nafsu di situ sebagai terjemahan dan kefahaman
adalah kurang tepat, yang setepatnya adalah emosi.
Semestinya emosi seorang wanita
sentiasa melebihi emosi seorang lelaki dalam apa keadaan dan cara sekalipun.
Demikian banyak kelebihan dan ujian yang Allah ciptakan untuk wanita tidak
kepada lelaki. Ini adalah kerana kehebatan dan kekuatan seorang wanita adalah
pada emosinya sedangkan lelaki pada akalnya.
Hawa, nafsu dan seks
Bukan hanya kepada seks, namun sifat berkehendak
yang berdasarkan hawa dan nafsu ini boleh sahaja menjalar dalam apa jua keadaan
dan kemahuan seperti dalam pemakanan, pemakaian dan selainnya.
Mereka yang berkehendak tanpa ada batasan dan kawalan
daripada diri sendiri maksudnya sampai satu tahap mereka tidak mampu mengawal
diri sendiri dan melanggar batas akidah dan syarak.
Allah berfirman yang bermaksud:
“Adapun orang yang takutkan keadaan semasa dia
berdiri di mahkamah Tuhan, (untuk dihitung amalnya), serta dia menahan dirinya
daripada menurut hawa nafsu; Maka sesungguhnya syurga adalah tempat
kediamannya.” (Surah al-Nazi’at, ayat 40-41)
Dalam ayat di atas jelas dinyatakan bahawa mereka yang
menahan diri mereka daripada menuruti hawa nafsu mereka maka balasan di akhirat
kelak adalah syurga. Ini menunjukkan betapa besarnya ganjaran kepada mereka
yang mujahadah (bersungguh-sungguh) dalam memeranginya.
Realiti zaman ini
Semakin ramai pasangan berkahwin muda atau semasa masih
bergelar siswa, bagi mereka yang berhujah bahawa dengan cara itu mereka akan
terhindar daripada maksiat sementelah suasana yang penuh ikhtilat (percampuran)
antara siswa dan siswi, kita katakan ada benarnya.
Namun apakah sebuah perkahwinan adalah semata-mata untuk
membendung nafsu syahwat? Bagaimana bagi mereka yang mencari jalan penyelesaian
dengan berkahwin kemudian nafsu mereka masih juga tidak terbendung?
Antara tujuan perkahwinan adalah untuk menyalurkan dan
melepas nafsu syahwat yang sememangnya secara fitrah Allah ciptakan pada setiap
insan pada tempatnya dengan menghalalkan yang haram bagi diri mereka
masing-masing antara suami dan isteri.
Namun menjadikan perkahwinan sebagai kambing hitam atas
kelemahan diri sendiri adalah sesuatu yang tidak wajar kerana jika kelemahan
itu tidak diatasi, ia tetap adalah kelemahan bagi seseorang itu. perkahwinan
perlu berlangsung atas kefahaman perkongsian kehidupan – suka dan duka, amanah
dan tanggungjawab sebagaimana yang digariskan oleh al-Quran dan sunnah.
No comments:
Post a Comment